Ibu Bapa · Cerita

Anak 5 tahun masuk Tahun 1 pada 2027? Semak kesediaannya dahulu

Mulai 2027, anak berumur 6 tahun (5+) boleh masuk Tahun 1, dan tiada ujian saringan. Jadi bagaimana ibu bapa tahu sama ada anak sudah bersedia? Inilah panduan persediaan ke Tahun 1, percuma untuk ibu bapa, daripada seorang guru sekolah rendah.

Apa yang berubah pada 2027

Pada 20 Januari 2026, kerajaan mengumumkan bahawa mulai 2027, kanak-kanak boleh memasuki Tahun 1 pada umur 6 tahun (5+), bersama rakan yang berumur 7 tahun. Kemasukan awal ini tidak wajib: ibu bapa boleh memilih sama ada anak masuk pada umur 6 atau 7 tahun.1

Pada mulanya, Kementerian Pendidikan merancang satu ujian diagnostik untuk melihat tahap kesediaan anak-anak ini.2 Pada 27 Januari 2026, Perdana Menteri memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa ujian itu tidak akan dilaksanakan. Sebagai gantinya, perkembangan anak akan dipantau oleh guru dan ibu bapa.3

Bermakna, ibu bapa yang mahu menghantar anak 5+ ke Tahun 1 pada 2027 boleh berbuat demikian tanpa sebarang saringan.

Kenapa ibu bapa perlu menyemak dahulu

Bagi saya, saringan itu tidak semestinya perlu dibuat oleh guru. Tetapi sekurang-kurangnya, ibu bapa perlu ambil tahu dan memastikan anak mereka bersedia untuk sukatan pelajaran Tahun 1.

Kerjasama ibu bapa amat penting. Kesediaan anak tidak boleh diserahkan 100% kepada guru sahaja.

Masalahnya, kebanyakan ibu bapa tidak tahu apa yang perlu disemak. Mereka perlukan satu alat yang mudah untuk menilai sendiri sama ada anak 5 tahun mereka sudah bersedia, dan apa yang boleh dibuat di rumah jika belum. Itulah sebabnya saya membina Bersedia untuk Tahun 1?, untuk membantu ibu bapa, dan juga cikgu-cikgu.

Apa yang ada di dalamnya

Bersedia untuk Tahun 1? ialah laman web percuma yang boleh dibuka di telefon. Setiap kemahiran diambil daripada Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) yang digunakan di prasekolah KPM.

  • Senarai semak untuk Bahasa Melayu, English dan Matematik. Tandakan setiap kemahiran: Belum lagi, Kadang-kadang, atau Ya.
  • Panduan untuk setiap kemahiran: apa maksudnya, kenapa ia penting untuk Tahun 1, dan permainan ringkas dengan ayat yang boleh terus diucapkan kepada anak.
  • Permainan main bersama dan lembaran kerja yang boleh dicetak.

Cukup 10 minit sehari. Dan jika anak masih "belum lagi" untuk sesuatu kemahiran, itu perkara biasa. Panduan akan menunjukkan langkah seterusnya.

3subjek: BM, English, Matematik
10 minitsehari, di rumah
Percumatanpa daftar akaun

Panduan percuma: Bersedia untuk Tahun 1?

Mulakan dengan senarai semak. Ia mengambil masa beberapa minit, tanpa menguji anak.

Sumber

  1. Kids to begin Year One at six from 2027 onwards, says PM, The Star, 20 Januari 2026.
  2. Hanya murid melepasi ujian diagnostik khas layak masuk Tahun 1 umur 6 tahun, Media Perpaduan, 21 Januari 2026.
  3. Murid 6 tahun masuk Tahun Satu tidak perlu ujian diagnostik: PM, Berita Harian, Januari 2026. Lihat juga Berita RTM.
  4. Kurikulum Prasekolah 2026, Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.